KESAN POSITIF DAN KESAN NEGATIF INDUSTRI PELANCONGAN
Industri
pelancongan merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang semakin berkembang pesat
di negara kita. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk
Dr. Ong Hong Peng, pada suku pertama tahun 2010 jumlah pelancong yang datang ke
negara kita telah meningkat kepada 5.75 juta orang berbanding hanya 5.46 juta
pada tempoh yang sama pada tahun 2009. Oleh itu, pada tahun 2010, Malaysia
dijangka mencatatkan pendapatan sehingga RM57 bilion hasil industri pelancongan
berikutan pengukuhan ekonomi domestik dan global. Namun begitu,
perkembangan pesat sektor pelancongan di negara kita turut mendatangkan
pelbagai kesan kepada budaya tempatan. Jadi, kesan positif dan kesan
negatif sektor pelancongan terhadap budaya negara kita akan dibincangkan demi
kepentingan bersama.
Kesan
positif pelancongan terhadap budaya tempatan ialah industri pelancongan dapat
membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat
sejagat. Melalui pelancongan, kita berpeluang berinteraksi dan
berkomunikasi dengan pelancong asing. Penduduk di negara kita
dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing yang datang ke
negara kita untuk mengetahui keadaan politik, sosial, dan ekonomi negara
mereka. Mereka pula akan mengetahui budaya serta amalan yang
unik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Contohnya,
amalan “rumah terbuka” yang diamalkan oleh segelintir rakyat negara
kita. Jadi, fitnah yang berkaitan dengan negara kita dapat
dilenyapkan dan pelancong asing yang datang ke negara kita juga akan bertambah.
Jelaslah bahawa sektor pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman
antara masyarakat sejagat.
Selain
itu, industri pelancongan juga dapat memperkaya budaya negara kita. Budaya
dan amalan yang baik dalam kalangan pelancong yang datang ke negara kita patut
dicontohi dan diamalkan oleh rakyat kita. Sebagai contohnya, amalan
membaca dalam kalangan pelancong yang datang dari Barat dapat menjadi teladan
yang baik kepada penduduk tempatan. Oleh itu, penduduk tempatan juga
akan mengikut jejak langkah mereka untuk mengamalkan budaya membaca dari semasa
ke semasa. Bukan ini sahaja, pelancong dari Barat dan pelancong dari
Jepun amat mementingkan amalan pemakanan yang sihat. Fenomena ini
patut dicontohi oleh rakyat kita dan menjadikannya sebagai budaya negara
kita. Pelancong asing yang mementingkan kebersihan alam sekitar juga
harus dicontohi. Jadi, rakyat kita akan mengekalkan kebersihan alam
sekitar demi menggalakkan kedatangan pelancong asing. Pendek kata,
pelancongan memang dapat memperkaya budaya kita.
Di
samping itu, sektor pelancongan turut dapat mengetengahkan budaya tradisional
negara kita kepada pelancong-pelancong asing. Sebenarnya, pelancong
–pelancong asing amat tertarik akan budaya tradisional yang ada di negara
kita. Jadi, mereka sanggup mengeluarkan masa dan wang mereka untuk
melancong ke negara kita. Di negara kita yang berbilang kaum,
pelancong asing dapat menikmati pelbagai jenis tarian tradisional seperti
tarian ngajat, tarian singa, tarian joket, dan sebagainya. Pelancong
asing juga dapat menikmati berbagai-bagai jenis permainan tradisional di negara
kita. Misalnya permainan tradisional seperti wau, congkak, gasing
dan lain-lain amat digemari oleh pelancong asing. Sudah terang lagi
bersuluh, sektor pelancongan memang dapat mengetengahkan budaya tradisional
negara kita kepada orang ramai.
Kesan
negatif pelancongan ialah kedatangan pelancong mampu menghakis nilai-nilai
murni dalam kalangan masyarakat tempatan. Senario ini akan berlaku
disebabkan pelancong asing mempunyai pemikiran dan sikap yang berbeza dengan
masyarakat tempatan. Biasanya, pelancong asing mempunyai sikap yang
terbuka. Namun begitu, masyarakat tempatan biasanya bersikap
tertutup dan berfikiran tradisional. Melalui kedatangan pelancong
asing, sedikit sebanyak sikap mulia yang ada pada masyarakat tempatan
diperkukuh. Hal ini demikian kerana masyarakat tempatan telah senang
dipengaruhi oleh budaya mereka. Tuntasnya, pelancongan mampu
menghakis nilai-nilai murni masyarakat tempatan.
Selanjutnya,
kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada kedatangan pelancong
asing. Hal ini demikian kerana pusat hiburan dan pusat membeli-belah
akan dibuka dengan banyak demi menjayakan sektor pelancongan. Dengan
adanya pusat hiburan seperti karaoke, disko dan pub akan menyumbang kes-kes
jenayah. Jadi, kes-kes jenayah di negara kita akan
meningkat. Selain itu, pelancong asing berkemungkinan besar akan
melakukan kes jenayah seperti vandalisme dan bergaduh di pusat hiburan atau
tempat lain apabila berlakunya perselisihan faham dengan penduduk tempatan.
Tegaslah bahawa kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada perkembangan
sektor pelancongan.
Tambahan
pula, sikap materialistik juga akan berkembang akibat daripada sektor
pelancangan yang berkembang pesat. Sikap materialistik telah diserap
dalam jiwa penduduk tempatan kerana wujudnya sektor pelancongan dalam
negara kita. Apabila wujudnya sikap materialistik, maka nilai
tolong-menolong yang mendalam dalam kalangan penduduk tempatan telah
hilang. Hal ini demikian kerana penduduk tempatan lebih cenderung
untuk mendapat keuntungan daripada para pelancong asing sehingga mengabaikan
nilai-nilai murni. Penduduk tempatan akan lebih mementingkan
keuntungan daripada mewujudkan hubungan rapat dengan pelancong
asing. Jelaslah bahawa industri pelancongan mampu mengembangkan
sikap materialistik dalam kalangan penduduk tempatan .
Kesimpulannya,
sektor pelancongan mampu menyebabkan negara kita berkembang dengan pesat,
tetapi sektor tersebut turut meninggalkan impak yang besar kepada budaya
tempatan. Jadi, semua pihak harus bekerjasama untuk mencegah kesan
negatif yang dibawa oleh pelancong asing. Dengan ini diharapkan
sektor pelancongan dapat dimajukan dan hanya meninggalkan kesan positif kepada
masyarakat tempatan.
padu beb
ReplyDelete