Sunday 21 October 2012


PERANAN AKHBAR DAN KEPENTINGANNYA

  Akhbar ataupun lebih dikenali sebagai “surat khabar” berperanan penting dalam kehidupan masyarakat hari ini. Ia bertindak sebagai media komunikasi massa yang menyalurkan pelbagai maklumat yang boleh mempengaruhi masyarakat pembaca. Lebih-lebih lagi, akhbar merupakan wadah yang paling cepat untuk menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai.

   Antara peranan akhbar dalam masyarakat hari ini ialah sebagai perangsang kepada pemikiran baru. Hal ini kerana, akhbar mengandungi pelbagai maklumat yang bernilai positif untuk pembangunan negara. Melalui pembacaan akhbar, mereka mudah untuk berfikiran rasional mengenai sesuatu pembaharuan, kerana akhbar mampu mempengaruhi fikiran mereka. Namun begitu, akhbar juga menjadi medan untuk memprotes dan menghasut masyarakat. Hal ini akan melambatkan proses pembangunan dan perpaduan kaum negara kita. Jelaslah di sini bahawa, akhbar dapat merangsang pemikiran baru masyarakat sama ada dari segi positif mahupun negatif.

  Selain itu, akhbar turut berperanan sebagai tempat untuk rakyat meluahkan masalah serta rayuan bantuan. Hal ini kerana, akhbar menyediakan satu ruangan khas kepada rakyat. Melalui ruangan khas ini, rakyat boleh mengadu apa-apa kepada kerajaan ataupun meminta pendapat orang ramai mengenai sesuatu isu. Dengan ini, masalah pembangunan infrastruktur luar bandar boleh diselesaikan dengan langkah yang bijak apabila mengetahui di dalam hati rakyat. Pendek kata, akhbar merupakan wadah untuk rakyat meluahkan masalah mereka.

  Di samping itu akhbar merupakan sesuatu sumber dan saluran pelbagai maklumat kepada masyarakat. Hal ini kerana, akhbar memaparkan berbagai-bagai maklumat di dalam atau di luar negara. Ia meliputi pelbagai bidang seperti kesusteraan, pendidikan, dan ekonomi. Dengan adanya maklumat-maklumat ini, masyarakat dapat meluaskan pengetahuan mereka dan tidaklah menjadi katak di bawah tempurung. Melalui akhbar juga, proses untuk mendapat  maklumat menjadi mudah kerana akhbar mudah untuk diperolehi di mana-mana sahaja. Justeru, jelaslah bahawa akhbar berperanan untuk menyampaikan maklumat dan sumber kepada masyarakat.

  Akhbar juga dapat meningkatkan dan memartabatkan bahasa. Hal ini kerana, kebanyakkan akhbar di negara kita menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa melayu baku yang mudah untuk dipahami oleh semua rakyat. Melalui pembacaan akhbar, kualiti bahasa akan dapat dipertingkatkan dengan mudah. Contohnya, akhbar seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia. Dengan ini, tatabahasa dan kosa kata pembaca dapat ditingkatkan secara tidak langsung. Justeru, usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda sendiri dapat diwujudkan melalui peranan akhbar.

  Kesimpulannya, akhbar merupakan wadah penyebaran yang berkesan walaupun pada masa ini kita sudah mengalami perubahan zaman yang menggunakan teknologi yang serba canggih. Akhbar yang bermutu haruslah dihasilkan untuk melahirkan insan yang berpengatahuan luas. Dengan itu, akhbar akan dapat membina minda masyarakat dalam memajukan era globalisasi.

No comments:

Post a Comment