Sunday 21 October 2012


KEMALANGAN JALAN RAYA

KEMALANGAN JALAN RAYA
• Jalan raya merupakan alat perhubungan terpenting untuk membangunkan pelbagai kegiatan manusia.
• Kelancaran sektor-sektor lain untuk menjalankan urus niaga bergantung pada kemudahan rangkaian jalan raya di negara ini.
• Kewujudan jalan raya yang moden dan selesa telah menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang terburu-buru dan mementingkan diri sendiri.
• Kemalangan jalan raya sering melibatkan pengguna kenderaan dan pejalan kaki.

PUNCA KEMALANGAN JALAN RAYA
1. Memandu dalam keadaan mabuk dan khayal. Terdapat sesetengah pemandu yang mengambil ubat yang menyebabkan hilang tumpuan semasa memandu. Hal yang demikian menyebabkan kenderaan yang dipandu tidak dapat dikawal dengan baik, terbabas, ataupun melanggar pengguna jalan raya yang lain.

2. Kecuaian yang berlaku di jalan raya menyebabkan kemalangan. Pemandu sering cuai semasa memandu oleh keletihan atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Keadaan kenderaan yang serba kekurangan dan tidak diselenggara secara berkala dapat menyebabkan kemalangan.

3. Kesesakan lalu lintas. Apabila musim perayaan, jumlah kenderaan di jalan raya meningkat. Keadaan jalan raya yang sesak akan meningkatkan kadar kemalangan akibat sikap sesetengah pengguna jalan raya yang tidak mampu bersabar dengan keadaan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan.

4. Keadaan jalan raya yang membahayakan. Terdapat jalan raya yang berlubang-lubang, tidak berlampu, selekoh tajam, sempit dan jalan raya yang bengkang-bengkok amat menyukarkan pengguna jalan raya.

5. Sikap sesetengah sekolah pemandu yang tidak bertanggungjawab. Tenaga pengajar di sekolah memandu hanya mengajar pelajarnya untuk lulus ujian. Pelajar sekolah memandu tidak diajar kemahiran memandu secara berhemah dan cekap mengikut keadaan semasa. Mereka hanya mementingkan bayaran.

6. Sikap pemandu yang tidak berhemah di jalan raya. Sesetengah pengguna jalan raya sengaja mengubahsuai kenderaan agar kelihatan hebat dan menarik perhatian orang lain. Sikap suka berlumba dan tidak boleh bersabar menyebabkan wujud samseng jalan raya.

7. Memandu laju untuk mengejar masa sering mengakibatkan kemalangan. Pengguna jalan raya begini tidak pandai mengatur perjalanan agar sampai ke destinasi yang dituju dalam masa yang ditetapkan. Mereka sering terburu-buru mengejar masa.

8. Keadaan cuaca yang panas dan lembap. Keadaan hari hujan dan angin kuat menganggu tumpuan dan jarak penglihatan. Keadaan cuaca panas akan menganggu emosi pengguna jalan raya dan penglihatan.

KESAN-KESAN KEMALANGAN JALAN RAYA

1. Kematian dan kehilangan nyawa. Negara kerugian tenaga kerja penting sekiranya mereka yang terlibat itu mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan oleh negara. Keluarga akan kehilangan ahli keluarga yang tersayang yang mungkin ketua keluarga mereka.

2. Kecacatan anggota. Mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya akan mengalami kecacatan sementara atau kekal. Pastinya menyukarkan diri dan ahli keluarga. Mereka akan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Masa depan keluarga dan diri menjadi tidak menentu.

3. Kemalangan akan merosakkan harta benda dan harta kerajaan. Kemalangan akan menyebabkan kenderaan terbabit rosak dan perlu dibaiki, Keadaan jalan raya juga turut rosak dan menyusahkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

4. Keluarga turut menanggung beban menjaga dan mengurus hal-hal tuntutan insurans dan berbincang dengan pihak yang terlibat. Ibu bapa terpaksa menanggung kos rawatan anak dan pembayaran ganti rugi.

5. Imej negara terjejas. Nama baik negara turut buruk kerana kadar kemalangan jalan raya yang tinggi mencerminkan sikap rakyat yang tidak berhemah dan tidak bertamadun di jalan raya.

6. Kerajaan mengeluarkan kos. Kerajaan juga terpaksa berbelanja lebih untuk mengurus dan menyelenggara sistem jalan raya. Kempen secara besar-besaran terpaksa diadakan untuk mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati di jalan raya.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KEMALANGAN JALAN RAYA

1. Jabatan Kerja Raya menerusi Kementerian Kerja Raya wajar mengenal pasti keadaan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan. Kemudahan jalan raya diperbanyak seperti jejantas, lampu isyarat, melebar jalan raya dan memasang lampu di tempat-tempat yang perlu.

2. Kurikulum sekolah-sekolah memandu perlu dipertingkat dan dipantau ketat oleh kerajaan, terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ). Kecekapan memandu wajar diuji dengan sebaik-baiknya agar pengguna kenderaan dapat mengawal kenderaan dengan baik.

3. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat oleh pihak polis dan JPJ. Rondaan dan sekatan jalan raya serta pemantauan yang kerap patut dijalankan setiap hari agar pengguna jalan raya dapat mendisiplinkan diri. Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) patut diperluas agar dapat mengesan pemandu yang melebihi had laju.

4. Anjakan pemikiran pengguna jalan raya itu sendiri. Pengguna jalan raya perlu sedar akan keselamatan mereka ketika berada di jalan raya. Mereka perlu berhati-hati sekiranya ingin sampai ke destinasi dengan selamat. Jika semua pengguna jalan raya mempunyai sikap dan pemikiran yang sama, kemalangan jalan raya pasti dihindari.

5. Kerajaan wajar mengetatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya. Kadar denda yang sewajarnya diharapkan dapat menginsafkan pengguna jalan raya. Hukuman lesen digantung dan penjara untuk kesalahan kemalangan maut wajar dilaksanakan. Hukuman sebatan pula wajar dilaksanakan.

6. Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kerajaan sendiri perlu memperbanyak kempen keselamatan jalan raya yang boleh dilaksanakan menerusi pelbagai media yang ada di negara ini.

MASALAH KESESAKAN JALAN RAYA

1. Amalan kongsi kereta. Mengurangkan bilangan kenderaan yang memasuki pusat-pusat bandar khususnya pada waktu sibuk, bilangan dapat dikurangkan kira-kira tiga kali ganda. Mengatasi masalah kurang persefahaman waktu perjalanan dan kesesuaian destinasi tempat kerja.

2. Langkah kerajaan menyekat pertambahan bilangan kereta. Pemilikan kenderaan sendiri di sekat. Harga kenderaan dipertingkatkan. Kenderaan lama dilupuskan.

3. Memperbaiki kemudahan pengangkutan awam. Perkhidmatan bas awam dan teksi diperbaiki dari segi kos, kekerapan serta kecekapan. Orang ramai lebih suka menaiki kenderaan awam daripada memandu kereta yang melibatkan perbelanjaan yang besar.

4. Memperkenalkan sistem MRT di samping LRT. Sistem pengangkutan moden boleh membawa penumpang dalam jumlah yang maksimum. Kos atau tambang haruslah bertepatan atau lebih mudah untuk menarik minat para penumpang daripada memandu kereta sendiri.

5. Wujudkan kaedah “Area Licensing Scheme” yang memperuntukkan waktu-waktu tertentu bagi kenderaan persendirian untuk memasuki pusat-pusat bandar. Mengenakan bayaran tinggi bagi kenderaan yang memasuki zon yang sibuk dan sebagainya.

6. Perancangan terhadap infrastruktur di kawasan bandar haruslah lebih teratur.Tempat kediaman, bangunan dan kompleks perniagaan, jalan raya di baiki dan dilebarkan, sistem trafik yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

9 comments: