Sunday 21 October 2012


Pelaburan Asing

Soalan Contoh
Pelaburan asing merupakan perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh sesebuah negara. Perkara ini penting untuk membangunkan ekonomi sesebuah negara terutamanya negara-negara yang sedang membangun dengan pessat seperti negara kita.

     
 Huraikan faktor-faktor yang menggalakkan pelaburan asing ke negara kita.
Karangan Contoh
      Pelabur asing merupakan golongan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara terutamanya bagi negara yang sedang membangun seperti negara kita. Hal ini amat penting untuk dititikberatkan kerana pelabur asing merupakan pihak yang boleh menjadi batu loncatan untuk negara kita mencapai kemajuan seiring dengan negara maju yang lain. Pihak yang bertanggungjawab di negara ini haruslah aktif memainkan peranan, contohnya bertemu dengan pelabur asing bagi memberikan penerangan yang berkaitan dengan hal ini. Dengan cara itu, sudah tentu pelabur-pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara ini iaitu apabila mereka yakin akan mendapat pulangan yang sewajarnya hasil daripada penerangan tersebut. Oleh hal yang demikian, pelabur asing memang dialu-alukan untuk melabur di negara kita ini.

      Faktor yang boleh mendorong pelabur asing yag lebih banyak melabur di negara kita ialah faktor kestabilan politik. Sudah tentu pelabur tidak akan teragak-agak, malah mereka lebih berminat untuk melibatkan diri dalam hal ini sekiranya keadaan politik negara kita stabil. Kita perlulah mempertahankan dan mengekalkan kestabilan politik yang sudah lama wujud di negara kita. Tambahan pula, pada zaman sekarang, tidak banyak negara yang stabil dari segi politik yang menyebabkan pelabur akan berfikir dua kaliuntuk membuat pelaburan di sesebuah negara. Dengan kelebihan yang kita miliki itu, kita harus memanfaatkannya dengan sebaik-baik yang mungkin kerana peluang baik seperti itu mungkin tidak akan datang bergolek pada masa akan datang.

      Dengan adanya tenaga kerja yang banyak, perkara ini boleh membantu negara untuk meningkatkan pelaburan asing. Perkara ini dapat dilihat apabila sesebuah negara itu mempunyai banyak pekerja untuk melakukan sebarang pekerjaan di samping upah kerjanya yang murah. Oleh itu, pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara kita dan seterusnya mereka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak di negara ini. Secara tidak langsung, negara kita akan dapat banyak manfaat dalam satu masa seperti kata pepatah, “sambil menyelam minum air”. Oleh itu, masalah pengangguran akan dapat dikurangkan dan secara tidak langsung pelaburan itu akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia.

      Pelabur asing yang datang ke negara kita ingin akan layanan yang baik dari negara kita, termasuklah kemudahan infrastruktur. Kemudahan-kemudahan seperti sistem jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan komunikasi merupakan prasyarat dan perkara yang sangat penting untuk membawa produk mereka ke luar negara untuk dipasarkan di pasaran antarabangsa. Oleh sebab itu, pihak kerajaan harulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk menarik pelabur asing yang lebih banyak supaya masuk ke negara ini. Layanan yang baik ini akan memberikan keselesaan kepada mereka sepanjang berada di negara ini dan membawa rakan-rakan pelabur asing yang lain melabur di negara ini.

      Faktor birokrasi juga turut memainkan peranan penting bagi menentukan kemasukan pelaburan asing. Hal ini demikian kerana, jika faktor birokrasi sesebuah negara itu tidak terlalu ketat, sudah pasti pelabur asing akan tertarik untuk melabur di sesebuah negara itu. Birokrasi seperti urusan pentadbiran yang merumitkan pelabur, contohnya sesuatu permohonan yang memerlukan masa yang lama untuk diluluskan akan menyusahkan para pelabur asing dan akan menyebabkan mereka menarik pelaburan ke negara lain. Secara tiidak langsung, perkara ini akan memberikan impak terhadap negara ini. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa, “kerana nila setitk, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah memastikan urusan pentadbiran di negara ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan yang akan memudaratkan negara.

      Kegiatan pelaburan asing sering sahaja dikaitkan dengan aspek kestabilan ekonomi sesebuah negara. Dengan cara itu, faktor ekonomi sesebuah negara juga tidak terkecuali daripada pertimbangan para pelabur sebelum melabur di sesebuah negara itu. Sudah tentu para pelabur akan mencari negara yang mempunyai ekonomi yang stabil bagi meluaskan perniagaan mereka untuk mendapat pulangan yang menguntungkan mereka. Jika sesebuah negara itu mundur dan kekurangan modal, tidak mungkin para pelabur akan berminat untuk melabur di sesebuah negara itu kerana hal ini tidak akan memberikan keuntungan kepada mereka. Oleh itu, sesebuah negara itu pula akan menjadi semakin mundur dan tidak akan mendapat keuntungan dari luar negara. Dengan kata lain, faktor ekonomi merupakan faktor yang sangat penting untuk memajukan sesebuah negara. Untuk menarik pelabur asing, sesebuah negara itu haruslah berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

      Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana kemajuan bagi sesebuah negara. Usaha-usaha yang berkesan haruslah ditingkatkan untuk menarik pelabur asing di negara kita. Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara, sudah pasti ekonomi bagi sesebuah negara itu sukar untuk berkembang dengan pesat. Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendak mencari jalan untuk menarik pelabur dan menyediakan peluang yang lebih banyak kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

No comments:

Post a Comment