BAHAN BACAAN PICISAN : KESAN BURUK KEPADA MASYARAKAT DAN
NEGARA
Kadar celik huruf
di kalangan penduduk Malaysia ialah 93 peratus. Namun, yang membimbangkan kita
ialah sikap masyarakat, terutamanya remaja yang lebih gemar membaca bahan-bahan
berbentuk picisan, iaitu bahan yang bersifat hiburan, seks, tahyul dan mistik seperti
Mangga, URTV, Bacaria, Mastika dan lain-lain.
Antara kesan buruk yang timbul
ialah membantutkan pembangunan negara. Kita akur bahawa pembangunan dan
kecemerlangan negara hanya akan menjadi kenyataan apabila masyarakatnya
berilmu. Apakah kita boleh mewujudkan masyarakat yang berilmu dengan hanya
membaca bahan-bahan picisan? Dengan membaca bahan picisan, hidup mereka
dipenuhi dengan aktiviti yang sia-sia, membazir dan membuang masa. Misalnya
mereka sering menghadiri konsert, disko, pub, parti dan sebagainya. Sifat ini
menjadikan mereka hanyut serta tiada masa lagi untuk memikirkan soal negara dan
ilmu. Tanpa kesedaran ini, pembangunan dan masa depan negara diperjudikan.
Selain itu, pembacaan bahan-bahan
picisan juga boleh mewujudkan pelbagai bentuk gejala sosial dalam masyarakat.
Ini termasuklah kejadian rogol, sumbang mahram, bersekedudukan, bunuh, amuk,
zina dan lain-lain. Gejala-gejala sosial ini mudah berlaku kerana bahan-bahan
picisan telah mengeksploitasikan unsur-unsur seks, hiburan dan tahyul dalam
penerbitan mereka. Aksi wanita yang mengghairahkan, hubungan bebas antara
lelaki dan perempuan serta kisah-kisah peribadi yang dipaparkan telah
menjadikan pembaca hilang pedoman. Bahan-bahan bacaan sebegini akan menjadikan
remaja bertindak di luar kawalan. Oleh itu, tidak menghairankan apabila ada
remaja yang terlibat dalam seks bebas, bohsia, bersekedudukan dan sebagainya.
Seterusnya lambakan bahan-bahan
picisan di pasaran telah menyebabkan merosotnya permintaan masyarakat untuk
bahan-bahan bacaan berbentuk ilmiah dan akademik. Ini terbukti apabila Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengehadkan cetakan buku untuk sesuatu tajuk
kepada 1000 hingga 3000 naskhah sahaja berbanding 3000 hingga 5000 naskhah pada
era 80-an. Hal ini terjadi kerana masyarakat telah menjadikan bahan bacaan
picisan sebagai alternatif. Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila majalah
Mangga boleh terjual sehingga 227 290 naskhah sebulan.
Di samping itu, bahan-bahan
picisan didapati telah mengeksploitasikan wanita dengan sewenang-wenangnya. Hal
ini terjadi apabila majalah picisan, terutamanya telah menunjukkan wanita atau
gadis jelita dengan aksi-aksi yang mengghairahkan dan menjolok mata. Misalnya
ada model wanita yang mendedahkan pusat, paha, sebahagian besar dada, memakai
celana mandi dan sebagainya. Hal ini tentunya tidak mans diparidang dan boleh
menjatuhkan maruah wanita pada pandangan masyarakat tempatan. Di peringkat
lebih luas pula, wanita yang dahulunya penuh sopan dan pemalu, kini telah
dianggap sebagai objek murahan yang boleh dijual beli. Dari sini wujud pula
sindiket memperdagangkan wanita.
Kesan negatif terakhir ekoran
meluasnya bahan bacaan picisan di pasaran ialah menularnya kepercayaan karut
dan mistik, terutamanya di kalangan pembaca remaja. Kisah mayat bangkit dari kubur,
kubur berasap, keris menari, pokok berpenunggu dan ilmu-ilmu ketahanan diri
begitu menarik perhatian pembaca. Hasilnya akan lahir para pembaca, terutamanya
belia yang cuba mengamalkan apa-apa petua atau panduan yang dibaca dalam
kedua-dua bacaan picisan in Adakalanya petua-petua yang bersifat mistik ini
boleh mengganggu pemikiran pengamalnya sehingga ada yang menjadi sasar dan
nanar. Hasilnya akan berlaku kejadian amuk, bunuh dan kekecohan dalam
masyarakat.
Kesimpulannya, kita sebagai
masyarakat alaf baru seharusnya sedar akan kepentingan memilih bahan bacaan.
Membaca bahan picisan ibarat menyedut racun yang berbisa sebagai santapan. Oleh
itu, pemilihan bahan bacaan berbentuk ilmiah merupakan jalan terbaik dalam
membina pemikiran yang sihat serta demi kemajuan negara dan masyarakat.
No comments:
Post a Comment