Sunday 21 October 2012



1. Bincangkan peranan sukan dalam pembangunan negara.
2. Sukan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik negara. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pernyataan ini ?.
3. Bincangkan kebaikan dan keburukan sukan.
4. Sejauh manakah alat sukan boleh meningkatkan mutu sukan ?

Intro :

1. Ramai orang menganggap sukan sebagai satu bentuk rekreasi dan dapat membina kesihatan kita.
2. Aktiviti sukan merangkumi kegiatan seperti berenang, olahraga, badminton, tenis, skuasy, sepak takraw, golf, gusti, tinju dan lumba kereta.
3. Sukan muncul sebagai satu fenomena penting di seluruh dunia. Berkembang sebagai kegiatan fizikal berorientasikan pertandingan.

Peranan :

1. Pembangunan sosio-budaya sesebuah masyarakat. Penglibatan individu dalam sukan merupakan alat yang berkesan untuk membina kesihatan tubuh badan. Kegiatan fizikal sukan membolehkan jantung dan sistem pengaliran darah bertambah baik. Meningkatkan fungsi pernafasan manusia. Memperbaiki dan memulihkan ketidakfungsian kardiovaskular, pergerakan sendi dan mengurangkan tekanan emosi individu. Rakyat yang sihat akan menjadi aset yang penting bagi pembangunan negara.
2. Pembina sahsiah yang menyeluruh. Aktiviti sukan meletakkan kemenangan dan kegagalan pada perspektif yang betul. Idelogi sosial aktiviti sukan ialah pembinaan sahsiah dan pembaikan keseimbangan emosi. Dianggap sebagai sumber ilmu dan panduan dalam proses pembelajaran. Melalui sukan, kita dapat mempelajari apa itu menang dan kalah. Sikap bertolak ansur dapat dilahirkan. Keperibadian yang unggul dapat dilahirkan kerana sukan boleh menghasilkan semangat yang positif dan ingin berjaya serta perjuangan yang kuat.
3. Menyatukan masyrakat berbagai etnik. Malaysia terdiri daripada berbagai kaum dan kumpulan etnik. Aktiviti sukan melibatkan pelbagai etnik menyediakan peluang untuk bekerjasama dan saling memahami. Boleh menyumbang ke arah perpaduan serta dapat mengikis segala gejala sosial yang kurang diingini dalam pembangunan negara seperti diskriminasi, pengasingan dan sebagainya. Boleh menjalin keperimanusiaan. Penyakit- penyakit sosial seperti penagihan dadah, alkoholisme, lari dari rumah, keruntuhan akhlak dan penyakit kelamin dapat dikurangkan kalau seseorang individu melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
4. Sebagai satu industri dan perdagangan. Sukan berkembang menjadi satu industri seperti yang terdapat di negara-negara maju. Contoh : Amerika Syarikat memperohlehi sebanyak RM135 billion sebagai pendapatan negara kasar bagi pengeluaran alat-alat sukan pada 1987.Industri sukan sahaja menyumbangkan kira-kira 1% hingga 2% pengeluaran negara kasar di negara-negara perindustrian yang memperlihatkan kadar pertumbuhan yang lebih pesat. Malaysia pula memperohlehi kira-kira RM45.41 juta hasil daripada eksport alat-alat sukan baru-baru ini. Contoh alat-alat sukan : Raket Yonex, kasut Reebok dan kasut bolesepak Puma. Perkembangan industri sukan telah meningkatkan pasaran antarabangsa untuk pengeluaran, perniagaan dan pengedaran alat-alat sukan, barangan dan perhidmatan yang berkait dengan industri sukan. Pasaran dunia untuk alatan sukan melebihi RM50 billion pada tahun-tahun 1980an.
5. Peluang pekerjaan. Menyedikan peluang pekerjaan profesional dan bukan profesional. Pada
1980, terdapat kira-kira 300,000 pekerjaan dan 7,000 buah syarikat yang menceburi dalam French Federation of Sporting Industries. Di Jerman pula, terdapat kira-kira 45,000 orang pekerja yang terlibat dalam sektor sukan. Di antara pekerjaan yang diwujudkan melalui aktiviti sukan adalah pemain bolasepak, pengurus pasukan, jurulatih, pegawai perubatan sukan, peguam sukan dan pemain badminton. Ini adalah baik untuk mereka yang tidak pandai dalam bidang akademik.

Kesimpulan :

1. Baru-baru ini, wujud satu hubungan yang erat dinamakan “simbiotik” antara sukan, media dan pengiklanan. Televisyen telah mengeksploitasikan sukan sebgai nadi pengiklanan melalui sokongan kewangan. Contoh : liputan sukan Olimpik melalui televisyen pada 1992 dibayar RM21 juta oleh Syarikat Dunhill. Kos penajaan bolasepak semi- pro Malaysia pula berjumlah RM6.6 juta.
2. Sukan boleh meningkatkan imej dan martabat negara. Sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. ” MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA ” mengikut Rahim Razali pengulas sukan negara.

Peranan Remaja Untuk Menjayakan Wawasan Negara.

   Remaja terdiri daripada golongan muda yang berusia 13 tahun hingga 18 tahun. Remaja memainkan peranan penting dalam memajukan negara dan golongan inilah yang mudah terpengaruh dengan gejala sosial. Dalam hal ini, pelbagai pihak perlu berusaha untuk memastikan remaja kini dapat memainkan peranan dalam menjayakan wawasan negara iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020.
   Remaja perlu belajar bersungguh-sungguh. Hanya dengan pelajaran sahajalah,seseorang itu boleh mengubah nasib dirinya,keluarga,masyarakat dan juga negara. Tanpa ilmu pengetahuan,remaja tidak boleh mencipta rekaan-rekaan baru dan dengan ini kita masih bergantung kepada negara luar dari segi teknologi. Remaja sepatutnya modal insane cemerlang yang boleh mereka cipta sesuatu kerana remaja perlu menjadi penyumbang teknologi, bukannya pengguna teknologi semata-mata.
   Selain itu, remaja perlu menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang terjebak dalam masalah sosial. Janganlah melibatkan diri dalam vandalisme,gengsterisme,peras ugut dan penyalahgunaan dadah. Kesemua gejala ini akan merosakkan diri remaja itu dan memalukan keluarga. Kerajaan pula terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyelesaikan masalah ini. Alangkah baiknya jika remaja menggunakan masa yang terluang dengan aktivitiaktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan mengumpul setem. Lantaran itu,remaja yang berwawasan perlu menghargai masa dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas.
   Di samping itu, remaja juga perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang negara agar negara aman dan rakyat dapat hidup dalam harmoni. Apabila remaja mengamalkan sikap yang terpuji dan tidak melanggar undang-undang negara,barulah segala wawasan negara dapat dijalankan dengan sempurna.
   Remaja juga perlu menjayakan segala program yang dianjurkan oleh kerajaan. Remaja sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada adik-adik mereka dengan berusaha bersungguhsungguh bagi menjayakan kempen-kempen seperti Kempen Anti merokok,Kempen Cintailah Sungai kita dan Kempen Galakan Membaca. Remaja yang menjadi tonggak negara akan dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara.
   Dalam usaha menjayakan wawasan negara, remaja boleh memberikan sumbangan tenaga dan idea yang berterusan agar aspirasi negara untuk menjadi negara maju akan terlaksana. Untuk mencapai hasrat itu,remaja yang berwawasan perlu banyak membaca bahan-bahan berbentuk pengetahuan dan berusaha untukmeningkatkan keupayaan diri dari pelbagai aspek seperti pengetahuan ICT yang membolehkan mereka memperoleh pengetahuan tanpa batasan menerusi internet. Mereka boleh bertukar-tukat idea dengan remaja dari negara lain dan seterusnya boleh menjana idea untuk menjayakan wawasan negara.
   Kesimpulannya, remaja memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara. Remaja yang berkualiti,merupakan pemangkin kecemerlangan negara.Oleh itu,marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk mewujudkan remaja yang benar-benar berwawasan, berdedikasi dan berketerampilan dan akhirnya negara kita akan maju setanding negara maju yang lain.

LANGKAH MENGATASI ISU PATI

   Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara kita telah meningkatkan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama. Lantas, ratusan ribu penduduk dari negara jiran mengambil kesempatan memasuki negara kita secara beramai-ramai. Kehadiran mereka telah mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin dan rakyat tempatan. Oleh yang demikian, kehadiran mereka perlu dibendung dan diawasi.

   Dalam usaha membendung kehadiran PATI, pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah PATI di negara kita.

   Seterusnya pihak polis perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

   Di samping itu, semua pihak yang berkuasa wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar semula pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan pihak kerajaan.

   Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan. Sesungguhnya sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan. Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja.

   Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan. Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara lebih teratur dan terkawal.

   Kesimpulannya, keperluan dan peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang tanpa izin yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan memudaratkan kesejahteraan rakyat kita.

KEMALANGAN JALAN RAYA

KEMALANGAN JALAN RAYA
• Jalan raya merupakan alat perhubungan terpenting untuk membangunkan pelbagai kegiatan manusia.
• Kelancaran sektor-sektor lain untuk menjalankan urus niaga bergantung pada kemudahan rangkaian jalan raya di negara ini.
• Kewujudan jalan raya yang moden dan selesa telah menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang terburu-buru dan mementingkan diri sendiri.
• Kemalangan jalan raya sering melibatkan pengguna kenderaan dan pejalan kaki.

PUNCA KEMALANGAN JALAN RAYA
1. Memandu dalam keadaan mabuk dan khayal. Terdapat sesetengah pemandu yang mengambil ubat yang menyebabkan hilang tumpuan semasa memandu. Hal yang demikian menyebabkan kenderaan yang dipandu tidak dapat dikawal dengan baik, terbabas, ataupun melanggar pengguna jalan raya yang lain.

2. Kecuaian yang berlaku di jalan raya menyebabkan kemalangan. Pemandu sering cuai semasa memandu oleh keletihan atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Keadaan kenderaan yang serba kekurangan dan tidak diselenggara secara berkala dapat menyebabkan kemalangan.

3. Kesesakan lalu lintas. Apabila musim perayaan, jumlah kenderaan di jalan raya meningkat. Keadaan jalan raya yang sesak akan meningkatkan kadar kemalangan akibat sikap sesetengah pengguna jalan raya yang tidak mampu bersabar dengan keadaan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan.

4. Keadaan jalan raya yang membahayakan. Terdapat jalan raya yang berlubang-lubang, tidak berlampu, selekoh tajam, sempit dan jalan raya yang bengkang-bengkok amat menyukarkan pengguna jalan raya.

5. Sikap sesetengah sekolah pemandu yang tidak bertanggungjawab. Tenaga pengajar di sekolah memandu hanya mengajar pelajarnya untuk lulus ujian. Pelajar sekolah memandu tidak diajar kemahiran memandu secara berhemah dan cekap mengikut keadaan semasa. Mereka hanya mementingkan bayaran.

6. Sikap pemandu yang tidak berhemah di jalan raya. Sesetengah pengguna jalan raya sengaja mengubahsuai kenderaan agar kelihatan hebat dan menarik perhatian orang lain. Sikap suka berlumba dan tidak boleh bersabar menyebabkan wujud samseng jalan raya.

7. Memandu laju untuk mengejar masa sering mengakibatkan kemalangan. Pengguna jalan raya begini tidak pandai mengatur perjalanan agar sampai ke destinasi yang dituju dalam masa yang ditetapkan. Mereka sering terburu-buru mengejar masa.

8. Keadaan cuaca yang panas dan lembap. Keadaan hari hujan dan angin kuat menganggu tumpuan dan jarak penglihatan. Keadaan cuaca panas akan menganggu emosi pengguna jalan raya dan penglihatan.

KESAN-KESAN KEMALANGAN JALAN RAYA

1. Kematian dan kehilangan nyawa. Negara kerugian tenaga kerja penting sekiranya mereka yang terlibat itu mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan oleh negara. Keluarga akan kehilangan ahli keluarga yang tersayang yang mungkin ketua keluarga mereka.

2. Kecacatan anggota. Mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya akan mengalami kecacatan sementara atau kekal. Pastinya menyukarkan diri dan ahli keluarga. Mereka akan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Masa depan keluarga dan diri menjadi tidak menentu.

3. Kemalangan akan merosakkan harta benda dan harta kerajaan. Kemalangan akan menyebabkan kenderaan terbabit rosak dan perlu dibaiki, Keadaan jalan raya juga turut rosak dan menyusahkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

4. Keluarga turut menanggung beban menjaga dan mengurus hal-hal tuntutan insurans dan berbincang dengan pihak yang terlibat. Ibu bapa terpaksa menanggung kos rawatan anak dan pembayaran ganti rugi.

5. Imej negara terjejas. Nama baik negara turut buruk kerana kadar kemalangan jalan raya yang tinggi mencerminkan sikap rakyat yang tidak berhemah dan tidak bertamadun di jalan raya.

6. Kerajaan mengeluarkan kos. Kerajaan juga terpaksa berbelanja lebih untuk mengurus dan menyelenggara sistem jalan raya. Kempen secara besar-besaran terpaksa diadakan untuk mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati di jalan raya.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KEMALANGAN JALAN RAYA

1. Jabatan Kerja Raya menerusi Kementerian Kerja Raya wajar mengenal pasti keadaan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan. Kemudahan jalan raya diperbanyak seperti jejantas, lampu isyarat, melebar jalan raya dan memasang lampu di tempat-tempat yang perlu.

2. Kurikulum sekolah-sekolah memandu perlu dipertingkat dan dipantau ketat oleh kerajaan, terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ). Kecekapan memandu wajar diuji dengan sebaik-baiknya agar pengguna kenderaan dapat mengawal kenderaan dengan baik.

3. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat oleh pihak polis dan JPJ. Rondaan dan sekatan jalan raya serta pemantauan yang kerap patut dijalankan setiap hari agar pengguna jalan raya dapat mendisiplinkan diri. Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) patut diperluas agar dapat mengesan pemandu yang melebihi had laju.

4. Anjakan pemikiran pengguna jalan raya itu sendiri. Pengguna jalan raya perlu sedar akan keselamatan mereka ketika berada di jalan raya. Mereka perlu berhati-hati sekiranya ingin sampai ke destinasi dengan selamat. Jika semua pengguna jalan raya mempunyai sikap dan pemikiran yang sama, kemalangan jalan raya pasti dihindari.

5. Kerajaan wajar mengetatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya. Kadar denda yang sewajarnya diharapkan dapat menginsafkan pengguna jalan raya. Hukuman lesen digantung dan penjara untuk kesalahan kemalangan maut wajar dilaksanakan. Hukuman sebatan pula wajar dilaksanakan.

6. Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kerajaan sendiri perlu memperbanyak kempen keselamatan jalan raya yang boleh dilaksanakan menerusi pelbagai media yang ada di negara ini.

MASALAH KESESAKAN JALAN RAYA

1. Amalan kongsi kereta. Mengurangkan bilangan kenderaan yang memasuki pusat-pusat bandar khususnya pada waktu sibuk, bilangan dapat dikurangkan kira-kira tiga kali ganda. Mengatasi masalah kurang persefahaman waktu perjalanan dan kesesuaian destinasi tempat kerja.

2. Langkah kerajaan menyekat pertambahan bilangan kereta. Pemilikan kenderaan sendiri di sekat. Harga kenderaan dipertingkatkan. Kenderaan lama dilupuskan.

3. Memperbaiki kemudahan pengangkutan awam. Perkhidmatan bas awam dan teksi diperbaiki dari segi kos, kekerapan serta kecekapan. Orang ramai lebih suka menaiki kenderaan awam daripada memandu kereta yang melibatkan perbelanjaan yang besar.

4. Memperkenalkan sistem MRT di samping LRT. Sistem pengangkutan moden boleh membawa penumpang dalam jumlah yang maksimum. Kos atau tambang haruslah bertepatan atau lebih mudah untuk menarik minat para penumpang daripada memandu kereta sendiri.

5. Wujudkan kaedah “Area Licensing Scheme” yang memperuntukkan waktu-waktu tertentu bagi kenderaan persendirian untuk memasuki pusat-pusat bandar. Mengenakan bayaran tinggi bagi kenderaan yang memasuki zon yang sibuk dan sebagainya.

6. Perancangan terhadap infrastruktur di kawasan bandar haruslah lebih teratur.Tempat kediaman, bangunan dan kompleks perniagaan, jalan raya di baiki dan dilebarkan, sistem trafik yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

KESAN POSITIF DAN KESAN NEGATIF INDUSTRI PELANCONGAN

            Industri pelancongan merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang semakin berkembang pesat di negara kita. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr. Ong Hong Peng, pada suku pertama tahun 2010 jumlah pelancong yang datang ke negara kita telah meningkat kepada 5.75 juta orang berbanding hanya 5.46 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2009. Oleh itu, pada tahun 2010, Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan sehingga RM57 bilion hasil industri pelancongan berikutan pengukuhan ekonomi domestik dan global. Namun begitu, perkembangan pesat sektor pelancongan di negara kita turut mendatangkan pelbagai kesan kepada budaya tempatan.  Jadi, kesan positif dan kesan negatif sektor pelancongan terhadap budaya negara kita akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

            Kesan positif pelancongan terhadap budaya tempatan ialah industri pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat.  Melalui pelancongan, kita berpeluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing.  Penduduk di negara kita dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing yang datang ke negara kita untuk mengetahui keadaan politik, sosial, dan ekonomi negara mereka.  Mereka pula akan mengetahui budaya serta amalan yang unik  dalam kalangan masyarakat di negara kita.  Contohnya, amalan “rumah terbuka” yang diamalkan oleh segelintir rakyat negara kita.  Jadi, fitnah yang berkaitan dengan negara kita dapat dilenyapkan dan pelancong asing yang datang ke negara kita juga akan bertambah. Jelaslah bahawa sektor pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat.

            Selain itu, industri pelancongan juga dapat memperkaya budaya negara kita.  Budaya dan amalan yang baik dalam kalangan pelancong yang datang ke negara kita patut dicontohi dan diamalkan oleh rakyat kita.  Sebagai contohnya, amalan membaca dalam kalangan pelancong  yang datang dari Barat dapat menjadi teladan yang baik kepada penduduk tempatan.  Oleh itu, penduduk tempatan juga akan mengikut jejak langkah mereka untuk mengamalkan budaya membaca dari semasa ke semasa.  Bukan ini sahaja, pelancong dari Barat dan pelancong dari Jepun amat mementingkan amalan pemakanan yang sihat.  Fenomena ini patut dicontohi oleh rakyat kita dan menjadikannya sebagai budaya negara kita.  Pelancong asing yang mementingkan kebersihan alam sekitar juga harus dicontohi.  Jadi, rakyat kita akan mengekalkan kebersihan alam sekitar demi menggalakkan kedatangan pelancong asing.  Pendek kata, pelancongan memang dapat memperkaya budaya kita.

            Di samping itu, sektor pelancongan turut dapat mengetengahkan budaya tradisional negara kita kepada pelancong-pelancong asing. Sebenarnya, pelancong –pelancong asing amat tertarik akan budaya tradisional yang ada di negara kita.  Jadi, mereka sanggup mengeluarkan masa dan wang mereka untuk melancong ke negara kita.  Di negara kita yang berbilang kaum, pelancong asing dapat menikmati pelbagai jenis tarian tradisional seperti tarian ngajat, tarian singa, tarian joket, dan sebagainya.  Pelancong asing juga dapat menikmati berbagai-bagai jenis permainan tradisional di negara kita.  Misalnya permainan tradisional seperti wau, congkak, gasing dan lain-lain amat digemari oleh pelancong asing.  Sudah terang lagi bersuluh, sektor pelancongan memang dapat mengetengahkan budaya tradisional negara kita kepada orang ramai.

            Kesan negatif pelancongan ialah kedatangan pelancong mampu menghakis nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat tempatan. Senario ini akan berlaku disebabkan pelancong asing mempunyai pemikiran dan sikap yang berbeza dengan masyarakat tempatan. Biasanya, pelancong asing mempunyai sikap yang terbuka.  Namun begitu, masyarakat tempatan biasanya bersikap tertutup dan berfikiran tradisional.  Melalui kedatangan pelancong asing,  sedikit sebanyak sikap mulia yang ada pada masyarakat tempatan diperkukuh.  Hal ini demikian kerana masyarakat tempatan telah senang dipengaruhi oleh budaya mereka.  Tuntasnya, pelancongan mampu menghakis nilai-nilai murni masyarakat tempatan.

            Selanjutnya, kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada kedatangan pelancong asing.  Hal ini demikian kerana pusat hiburan dan pusat membeli-belah akan dibuka dengan banyak demi menjayakan sektor pelancongan.  Dengan adanya pusat hiburan seperti karaoke, disko dan pub akan menyumbang kes-kes jenayah.  Jadi, kes-kes jenayah di negara kita akan meningkat.  Selain itu, pelancong asing berkemungkinan besar akan melakukan kes jenayah seperti vandalisme dan bergaduh di pusat hiburan atau tempat lain apabila berlakunya perselisihan faham dengan penduduk tempatan. Tegaslah bahawa kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada perkembangan sektor pelancongan.

            Tambahan pula, sikap materialistik juga akan berkembang akibat daripada sektor pelancangan yang berkembang pesat.  Sikap materialistik telah diserap dalam jiwa penduduk tempatan kerana wujudnya sektor pelancongan dalam negara kita.  Apabila wujudnya sikap materialistik, maka nilai tolong-menolong yang mendalam dalam kalangan penduduk tempatan telah hilang.  Hal ini demikian kerana penduduk tempatan lebih cenderung untuk mendapat keuntungan daripada para pelancong asing sehingga mengabaikan nilai-nilai murni.  Penduduk tempatan akan lebih mementingkan keuntungan daripada mewujudkan hubungan rapat dengan pelancong asing.  Jelaslah bahawa industri pelancongan mampu mengembangkan sikap materialistik dalam kalangan penduduk tempatan .

            Kesimpulannya, sektor pelancongan mampu menyebabkan negara kita berkembang dengan pesat, tetapi sektor tersebut turut meninggalkan impak yang besar kepada budaya tempatan.  Jadi, semua pihak harus bekerjasama untuk mencegah kesan negatif yang dibawa oleh pelancong asing.  Dengan ini diharapkan sektor pelancongan dapat dimajukan dan hanya meninggalkan kesan positif kepada masyarakat tempatan.


Penswastaan

Latarbelakang

Pengswastaan mula mendapat perhatian yang wajar di Malaysia mulai pertengahan tahun 1983 apabila Y.A.B. Perdana Menteri melancarkan Dasar Persyarikatan Malaysia yang juga telah menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan dan pengurusan negara.
Penswastaan adalah bertentangan dengan pemiliknegaraan (nationalization), iaitu satu proses yang menambahkan pemilikan dan penguasaan Kerajaan dalam ekonomi. Pada dasarnya, pengswastaan melibatkan beberapa kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta. Keadaan ekonomi meleset juga menjadi faktor-faktor utama yang membawa kepada Dasar Pengswastaan ini diperkenalkan.
Objektif

Dasar Pengswastaan diperkenalkan dengan mempunyai objektif seperti berikut:

(i) Mengurangkan Bebanan Kewangan Kerajaan
Pada masa yang lepas, pihak Kerajaan telah membelanjakan ribuan juta ringgit dalam sektor kesihatan, pertahanan, air, api, jalan keretapi, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya, dan perbelanjaan tersebut terus meningkat dari masa ke semasa dan kadar pulangan balik kepada Kerajaan adalah lambat dan sangat rendah.
Di samping itu, Kerajaan juga terpaksa menyelenggarakan perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan tertentu. Jumlah emolumen merupakan satu item yang terbesar iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan dalam bentuk pindahan juga telah meningkat dengan pesatnya sejak akhir-akhir ini dan sekarang telah menjadi hampir setengah daripada perbelanjaan mengurus.

(ii) Meninggikan Kecekapan Dan Penghasilan Kerja
Pencapaian kebanyakan daripada perusahaan awam yang terlibat dalam bidang perdagangan dan perindustrian masih tidak memuaskan walaupun mereka mempunyai kedudukan monopolistik dan menikmati berbagai sokongan Kerajaan. Dengan mengswastakan beberapa perkhidmatan Kerajaan yang tertentu, serta dengan kepakaran dan peluang yang lebih baik yang boleh di beri oleh pihak swasta, adalah dijangka perkhidmatan tersebut dapat di tingkatkan dengan lebih baik lagi.

(iii) Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Dan Kekesanan Negara
Harta-harta atau kekayaan yang dimiliki oleh negara masih belum diusahakan sepenuhnya. Halangan-halangan yang terdapat dalam sektor awam tidak menggalakkan penggunaan sumber-sumber kekayaan negara ini dengan cekap dan sepenuhnya.
Lebih banyak syarikat swasta yang dapat di wujudkan yang dengan secara tidak langsung dapat meninggikan pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, pihak Kerajaan pula dapat mengecap nikmat bersama dengan mengutip cukai pendapatan dari syarikat-syarikat yang berkenaan.

(iv) Pembahagian Sumber Serta Kecekapan
Lebih banyak penglihatan Kerajaan dalam ekonomi bermakna lebih banyak penguasaan Kerajaan terhadap sumber-sumber negara. Keputusan pula biasanya dibuat berasaskan pertimbangan yang bukan bercorak pasaran. Sebahagian besar daripada barang-barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Kerajaan mencerminkan nilai pasaran. Harga barangan tersebut adalah berasaskan subsidi dan sumber yang diuntukkan itu untuk pengeluarannya tidak dapat diagihkan dengan cekap.
Subsidi dan pengekalan sikap yang berkehendakkan kebajikan, akan menggalakkan rakyat Malaysia terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan. Keadaan ini tidak sesuai dengan kepentingan jangka panjang perseorangan dan negara keseluruhannya.

(v) Mempercepatkan Pencapaian Matlamat dasar Ekonomi Baru
Dengan memberi lebih banyak peluang kepada pihak swasta, Kerajaan dapat mengwujudkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta Bumiputera atau bilangan pengurus-pengurus Bumiputera bagi memenuhi kehendak-kehendak Dasar Ekonomi Baru itu.
Strategi Pelaksanaan
Beberapa isu penting perlu diselidiki, dikaji dalam menimbangkan cadangan-cadangan pengswastaan sesuatu perkhidmatan itu. Kabinet telah mengarahkan satu Jawantankuasa ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan dianggotai oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan Jabatan Awam (PSD) dengan dipengurusikan oleh Unit Perancang Ekonomi bagi menyediakan satu garis panduan yang lengkap untuk memudahkan Kementerian/Jabatan mengswastakan beberapa perkhidmatan di bawah Kementerian/Jabatan masing-masing. Antara isu-isu yang perlu di pertimbangkan ialah:

(a) Pemecahan sesuatu khidmat (fragmentation);
(b) Soal keselamatan;
(c) Perundingan;
(d) Implikasi kewangan;
(e) Penentuan harga;
(f) Implikasi kepada kakitangan;
(g) Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru;

Berdasarkan kepada angka perbelanjaan dan peruntukan-peruntukan pembangunan awam, sektor swasta pula mengkaji keupayaan mereka dalam mengurus dan mengambilalih harta-harta yang akan diswastakan. Pengawasan dan penilaian yang rapi terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang diswastakan juga merupakan sebahagian dari program pengswastaan. Tingkat kecekapan daya pengeluaran, daya persaingan yang sihat serta tingkat harga yang dikenakan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan perlu diawasi untuk menilai kos dan faedah dari perkhidmatan yang diswastakan.

Penutup

Kebimbangan-kebimbangan terhadap Dasar Pengswastaan timbul kerana akan berlakunya beberapa pemindahan hakmilik ‘national monopoly’ yang sepatutnya dikendalikan oleh sektor awam kepada syarikat swasta. Pemindahan itu dikuatiri boleh menyebabkan kenaikan kos, harga dan agihan pendapatan yang tidak serata disebabkan oleh pemonopolian tersebut.
Walaubagaimanapun, jika dasar ini dikaji secara mendalam dan dipraktikkan secara sempurna selepas mengambil kira kemungkinan penyalahangunaan kuasa monopoli di atas, ianya akan dapat menyediakan satu perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan murah pada pengguna penggunanya, yang mana secara tidak langsung akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

HAK PENGGUNA

SOALAN DAN JAWAPAN :

1. Setiap kali menjelang musim perayaan gedung membeli-belah mengadakan berbagai-bagai jualan murah untuk menarik perhatian pengguna dan mengaut keuntungan yang cepat. Sebagai pengguna, kita sering terperangkap dalam iklan- iklan yang menarik dan jualan murah tersebut. Sebenarnya, para peniaga adalah secara halus “menipu” pengguna yang berbelanja. Bincangkan hak-hak anda sebagai pengguna dan huraikan peranan persatuan pengguna dalam membantu pengguna yang menghadapi masalah ini.

Intro :

1. Pengguna adalah “raja” kerana mereka mempunyai kuasa membeli.

2. Pengguna tidak tahu hak mereka mereka sebagai pengguna dan sering ditipu. Pengguna juga tidak bersatu-padu dalam menentang kenaikan harga barangan.

3. 15 Mac 1992 adalah Hari Pengguna sedunia dan di Malaysia sambutannya telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Oleh kerana hak pengguna perlu dikawal, satu kementerian hal-ehwal pengguna telah ditubuhkan dan dipimpin oleh YB Datuk Abu Hasan (1993).

Hak Pengguna :

1. Pemilihan barangan dan perkhidmatan. Memilih barangan dan perkhidmatan secara bebas tanpa desakan, tanpa rasa takut, segan dan sebagainya. Juga berhak mendapat penerangan atau maklumat terperinci sebelum mengambil keputusan untuk membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan seperti boleh bertanya, tawar- menawar, memegang dan meniliti dengan sepuas hati.

2. Perlindungan daripada bahaya. Mendapat perlindungan daripada bahaya atau kesan-kesan sampingan semasa menggunakan barangan atau perkhidmatan, seperti alat-alat elektrik yang merbahaya, jentera dan sebagainya. Pengguna juga berhak menuntut gantirugi seperti menukar dengan barangan yang baru, memulangkan semula wang, atau membayar pampasan yang lebih tinggi.

Peranan persatuan pengguna :

1. Perjuangan hak pengguna. Peranan persatuan pengguna adalah memperjuangkan hak-hak pengguna yang tertipu, menyedarkan pengguna terhadap muslihat di tempat membeli belah, menjalankan kaji selidik barangan pengguna di pasaran dan lain-lain. Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang ditubuhkan pada tahun 1970 adalah persatuan pengguna yang paling aktif memperjuangkan nasib pengguna. Persatuan pengguna boleh membantu pengguna yang tertipu, tertindas, atau yang teraniaya dengan cara menjadi orang tengah, membongkar kes-kes penipuan dalam akhbar terutama Utusan Pengguna atau menolong menjalankan pendakwaan di mahkamah.

2. Kajian dan pembangunan. Menjalankan kaji selidik dengan penyelidikan yang berfaedah demi kebaikaan pengguna seperti ada sesetengah Chewing Gum mengandungi geletin babi, ada sesetengah sabun yang menggunakan lemak babi, tidak sesuai untuk orang Islam, burger mengandungi timah hitam yang menyebabkan kolestrol yang tinggi dan lain-lain. 3. Kesedaran pengguna. Menyedarkan pengguna terhadap tipu muslihat di tempat membeli belah seperti kaedah jualan murah, timbangan, mutu atau gred barangan atau perkhidmatan, harga, tanda harga, halal dan bersih digunakan. Melalui risalah dan buku yang dikeluarkan oleh persatuan-persatuan ini bolehlah pengguna memahami hal-hal berkaitan dengan pengguna.

Kesimpulan : 1. Pengguna sering menjadi mangsa kerana tidak tahu hak-hak mereka sebagai pengguna. 2. Bantuan daripada pihak persatuan pengguna adalah perlu bagi mengurangkan masalah penipuan terhadap pengguna dan para peniaga yang mencari kesempatan. 3. Kerajaan juga perlu mengambil berat dalam hal ini kerana melibatkan semua rakyat dan kementerian yang berkaitan dengan kepenggunaan telah diwujudkan.